Latar Belakang Kampung Melayu Raya



"Kampung Sebalik Pokok Rendang Si Hutan Rimba" begitulah nama asal bagi Kampung Melayu Raya. la merupakan nama asal yang telah diberikan oleh orang bunian.  Menurut peneroka pertama kampung ini iaitu Allahyarham Miskam Bin Gimon, beliau telah didatangi oleh penjaga hutan itu (orang bunian) meminta supaya kampung ini diberi nama "Kampung Di Sebalik Pokok Rendang Si Hutan Rimba" .

Miskam Bin Gimon lahir pada tahun 1918.  Berasal dari Tanah Jawa, Indonesia dari keturunan 'Pendowo Limo'. Beliau telah dibawa oleh keluarganya berhijrah ke Singapura ketika berumur 8 tahun. 3 tahun kemudian beliau telah dibawa oleh keluarganya ke daerah Muar dengan menaiki kapal laut. Di sana beliau telah menetap dan bekerja di Estet Berohor dengan gaji RM0.05 sen sehari.

Namun beliau berasa tiada kemajuan untuk dirinya bekerja di estet ini malah penderitaan pula yang dialaminya. Pada tahun 1924, dengan berbekalkan wang sebanyak RM25.00, beliau memberanikan diri berpindah ke Kampung Parit Lunas. Di sana beliau telah ditawarkan bekerja mengusahakan tanah dengan hasilnya dibahagi dua. Beliau telah bekerja membanting tulang hinggalah berjaya. Namun demikian kejayaannya ini tidak disenangi oleh tuan punya tanah. Beliau kemudiannya telah dihalau oleh tuan tanah tersebut.

Beliau telah berpindah ke Kampung Pinang Seribu di Muar pada tahun 1935. Tidak berapa lama kemudian beliau telah ditawarkan sebidang tanah seluas 3.5 ekar oleh Datuk Penghulu Mukim itu. Di kampung itu beliau telah bertemu jodoh dengan Puan Kemi Binti Haji Shukor.

Walaupun hidup mereka sekeluarga bahagia namun kepuasan masih belum dirasai.  Pada tahun 1945, beliau sekali lagi telah berpindah ke Kampung Parit Yoep, Yong Peng, Batu Pahat.  Di sana beliau telah bertemu dengan penghulu mukim berkenaan untuk memohon tanah dan akhirnya beliau telah dikurniakan dengan tanah seluas 7 ekar. Tanah beliau di Kampung Pinang Seribu telah dijual dengan harga RM 1,200.

Pada tahun 1955, beliau telah berpindah ke Kulai Young Estet dan kemudian ke Midland Estet. Namun beliau masih tidak berpuas hati terhadap apa yang ada padanya. Beliau telah 'diberi alamat' supaya membuka tanah di Hulu Pontian.

Pada hari Jumaat 12 Februari 1959, beliau bersama isteri dan dua orang anaknya telah berpindah ke Hulu Pontian dengan hasrat dan cita-cita yang besar untuk membuka sebuah kampunng di sana. Asalnya kampung ini adalah sebuah kawasan hutan simpan kerajaan seluas kira-kira 3500 ekar.  la didiami oleh binatang-binatang liar dan tiada sesiapa pun yang berani menerokainya kecuali dijadikan kawasan perburuan Sultan pada masa itu.  Berbekalkan semangat yang waja dan hati yang cekal beliau telah bekerja siang dan malam menerokai kawasan ini.  Melihatkan kawasan ini berpotensi untuk dimajukan, beliau telah mengajak rakan-rakannya berhijrah ke situ.

Kini penduduk kampung ini telah menjangkau seramai lebih 4000 orang dan telah wujud pelbagai prasarana yang serba lengkap untuk kemudahan penduduk-penduduknya seperti sebuah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama, Klinik Desa, Masjid, Surau dan Balai Raya. Selain itu, kampung ini juga telah dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air paip, telefon dan jalan raya oleh pihak kerajaan. Memandangkan keluasan kawasan ini telah bertambah dan kemajuannya bertambah pesat maka keluasan kawasan ini telah dipecahkan menjadi beberapa buah kampung iaitu Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Maju Jaya, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Seri Gambut, Kampung Usaha Jaya, Kampung Setia Jaya dan Kampung Melayu Raya.

Setiap yang bernyawa pasti akan meninggal dunia. Bagi Encik Miskam Bin Gimon tidak terlepas dari suratan takdir ini. Beliau telah meninggal dengan meninggalkan seorang balu dan 10 orang anak.  Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Bagi mengenang jasa beliau, sebatang jalan di kampung ini telah dinamakan Jalan Pak Miskam mengambil sempena nama beliau.  Bagi penduduk di sini, Pak Miskam digelar ‘Bapaknya Orang Sekampung’ bagi mengenang segala pengorbanan beliau ke atas kampung ini.  Moga-moga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh. AMIN